Sunday 23 October 2011

Kepercayaan Orang Kita

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

ومن يعش عن ذكر الرحمن نقيض له شيطانا فهو له قرين
“ Dan barangsiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran Yang di turunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya”

Masyarakat kita pada hari ini semakin terdedah kepada fenomena tahyul, keramat, perkara ghaib, sihir dan cerita-cerita aneh.Pelbagai filem yang berunsurkan mistik mula mewarnai kanvas media hari ini. Fitrah naluri manusia yang cenderung kepada perkara baru mendorong ramai penggiat seni menjadikan jalan cerita sebegini sebagai modal mempublisiti karya mereka.Meskipun sebahagian daripada produser meletakkan matlamat utama pembikinan sebarang bentuk media sebagai medium untuk membuka mata masyarakat terhadap fenomena ini dan mengambil iktibar,namun didapati kesan negatif disebaliknya lebih berkesan mempengaruhi akidah dan persepsi masyarakat.

            HM Tuah Iskandar berpendapat dalam buku beliau “Mengislamisasikan Komunikasi Warta”DBP 1997 “Media massa,sama ada bercetak mahupun elektronik adalah alat penyebaran maklumat yang tidak dapat dinafikan keberkesanan serta pengaruhnya terhadap pemikiran insan.Bagaimanapun,kesan dan pengaruh media pada diri seseorang insan dengan insan yang lain tidak setara kerana keberkesanan pengaruh itu boleh berubah dalam tiga keadaan yang berbeza samada berbentuk positif,neutral dan negatif” .Jelas terbukti bahawa media amat berpengaruh kepada minda dan pemikiran masyarakat.
           
            Oleh yang demikian, tapisan yang rapi dan teliti terhadap sebarang penerbitan bercetak dan audio visual perlu dilaksanakan agar media lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat dan menjadi saluran informasi yang mendidik pemikiran dan jiwa masyarakat dengan nilai-nilai murni.
           
Sorotan isu penyiaran berunsurkan tahyul dan perkara-perkara yang disebutkan yang berleluasa seputar era 90-an menemukan kita “Garis Panduan Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam” yang diterbitkan oleh JAKIM pada tahun 1996 dalam usaha membenteras kebendungan gejala tahyul dalam media elektronik.Garis Panduan ini disediakan ekoran daripada berleluasanya bahan penerbitan, sama ada penerbitan bercetak, filem ataupun elektronik yang banyak memaparkan kisah-kisah sensasi dan misteri dalam masyarakat.Di antara aspek yang dieksploitasikan ialah mengenai cerita-cerita aneh, legenda, cerita-cerita berunsur magis, perbomohan, kehidupan alam jin dan seumpamanya, yang sebahagian besarnya termasuk dalam perkara khurafat, tahyul dan kebudayaan karut serta bercanggah dengan akidah Islam.

Pada tahun 21 November 2005,JAKIM telah memberi nafas baru terhadap garis panduan ini dengan menerbitkan pula “Garis Panduan – Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-Unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah”.Aspek-aspek yang terdapat dalam garis panduan ini adalah meliputi perkara-perkara yang berhubung dengan kepercayaan kepada benda-benda keramat, khurafat dan tahyul, legenda, perbomohan dan azimat, perkara ghaibiyyat dan persoalan mimpi, sihir dan unsur-unsur magis, serta cerita-cerita aneh, misteri dan ajaib.
Terdapat banyak aspek yang terkandung dalam garis panduan ini perlu ditekankan antaranya:
1.Takrif
Menurut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 1987), penerbitanditakrifkan sebagai:
(a) Dokumen, akhbar, buku dan majalah;
(b) Semua bahan bertulis atau bercetak dan segala-galanya sama ada sifatnya yang serupa dengan bahan bertulis atau bercetak atau tidak mengandungi apa-apa gambaran yang boleh dilihat;
(c) Apa-apa jua yang mengikut rupa bentuknya atau dengan apa juga cara boleh membayangkan kata-kata atau idea-idea, dan ;
(d) Rakaman suara iaitu apa-apa bahan yang padanya direkodkan suara manusia atau muzik insrumental atau lain-lain bunyi dan termasuklah piring hitam, pita dan ceper laser.
Menurut Kamus Dewan bahawa,audio visual pula adalah sesuatu yang melibatkan atau menggunakan pendengaran dan penglihatan. Oleh itu Garis Panduan ini juga adalah digunapakai bagi semua bentuk penerbitan yang melibatkan audio visual dalam aspek perfileman, meliputi sinematografi, pita, video, disket, cakera laser, cakera padat, cakera keras atau rekod lain bagi suatu urutan imej gambar tampak yang merupakan suatu rekod yang digunakan sebagai suatu cara untuk menunjukkan urutan itu sebagai suatu gambar bergerak sama ada atau tidak diiringi oleh bunyi.
2.Kepercayaan kepada benda-benda keramat,khurafat,tahyul, kebudayaan karut dan ghaibiyyat.
2.1 Takrif
Mengikut Kamus Dewan, istilah keramat bermaksud; suci dan berkat daripada kesuciannya itu (dipercayai) dapat mendatangkan hikmat (seperti menyembuhkan penyakit, memberi keselamatan dan sebagainya). Ia juga bermaksud tempat atau sesuatu yang suci dan (dipercayai) dapat mendatangkan hikmat.
Menurut Kitab Al-Mu’jam al-Wasit, khurafat adalah cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta. Manakala mengikut Kamus al-Marbawi bahawa khurafat ialah; sebarang cerita yang benar-benar dusta. Pendapat lain menyebut bahawa; khurafat adalah sesuatu hal yang tidak masuk akal atau perkara-perkara yang sukar untuk dipercayai kebenarannya.
Berdasarkan takrif tersebut dapat dibuat kesimpulan bahawa khurafat ialah sesuatu perkara mempersonakan berbentuk rekaan atau dongeng (legenda) yang karut atau tahyul yang menyimpang dari ajaran Islam.
Manakala istilah tahyul pula adalah bermaksud; semua cerita, sama ada khayalan atau rekaan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Ia meliputi cerita-cerita yang mempersonakan dan bercampuraduk dengan perkara-perkara yang dusta.
Manakala kebudayaan karut ditakrifkan sebagai keseluruhan tatacara hidup serta hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian dalam sesuatu masyarakat, tamadun dan peradaban yang direka serta ianya bercanggah dengan ajaran Islam.
Perkara ghaibiyyat pula ialah perkara-perkara mengenai akidah Islam yang tidak nampak dengan mata kasar, tetapi wajib dipercayai oleh semua umat Islam. Ianya meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan konsep ketuhanan, malaikat, persoalan roh, alam akhirat, alam kubur dan mati, dan juga alam makhluk halus dari kalangan jin.
2.2 Hukum mempercayainya
Hukum mempercayai adanya keramat,khurafat,tahyul dan kebudayaan karut adalah syirik, kerana menganggap perkara-perkara boleh mendatangkan manfaat, selain daripada kekuasaan Allah S.W.T.
Maksud firman Allah S.W.T. (Yunus : 106)”:
“ Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim.”
Maksud hadith Nabi saw pula:
Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan. Para sahabat bertanya, Apakah tujuh perkara itu? Baginda menjawab: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hudud, Bab 44, hal. 33)
Perkara-perkara berbentuk ghaibiyyat pula adalah wajib diimani. Namun semua perkara ghaibiyyat yang tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan al-Hadith adalah dilarang dipapar dan diceritakan.
2.3 Antara bentuk-bentuk keramat,khurafat,tahyul dan kebudayaan karut yang dipercayai oleh masyarakat yang terdapat dalam media hari ini
1)          Kepercayaan adanya keramat pada benda-benda dan objek tertentu yang boleh mendatangkan kebaikan luar biasa seperti telaga keramat, cincin keramat, keris keramat, buaya keramat, dan sebagainya
2)          Menganggap keramat pada seseorang yang berpengaruh dalam masyarakat, atau kumpulan tertentu.
3)          Cerita-cerita yang tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith.
4)           Cerita-cerita yang berunsur metos dan legenda, rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut.
5)          Cerita-cerita yang bersumberkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam.
6)          Cerita-cerita yang berbentuk pemujaan dan permohonan kepada makhluk halus bagi tujuan memudharatkan orang lain dan menyeleweng dari akidah Islam.
7)           Menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya bagi tujuan yang tertentu.
         Cerita-cerita yang mempunyai unsur-unsur negatif dari segi akidah dan syariat Islam dsb.
3. Bentuk penerbitan yang dilarang
3.1 Semua bentuk penerbitan yang memapar dan mempromosikan kepercayaan kepada benda-benda keramat dan sifat luar biasa sesuatu objek-objek tertentu.
             (i) Mengenai kepercayaan kepada objek-objek seperti cincin batu akek, keris lama, tombak yang dianggap boleh memberi apa-apa manfaat ataupun pertolongan.
            (ii) Mengenai kepercayaan kepada sial-majal seperti adat mandi limau, mandi safar dan adat mandi membuang sial.
3.2 Semua penerbitan yang memaparkan keyakinan bahawa makhluk jin itu mempunyai kuasa mutlak tanpa qudrat dan iradat daripada Allah S.W.T. (Dalam masyarakat Melayu, jin juga dikenali dalam berbagai nama seperti polong, toyol, iblis, saka dan lain-lain).
 (i) Memaparkan kisah-kisah perbomohan yang pasti boleh sembuh kerana berkat pertolongan jin. Kisah seumpama ini boleh menunjukkan bahawa golongan makhluk ghaib lebih berkuasa untuk menolong daripada Allah.
           (ii) Memaparkan kisah-kisah pemujaan menggunakan mentera, memuja kubur, meminta bantuan toyol dan seumpamanya.
3.3 Semua penerbitan yang menggambarkan perkara-perkaraghaibiyyat secara terperinci, sedangkan ianya tidak terdapat dalam al-Quran atau al-Hadith.
 (i)   Memaparkan kisah-kisah mimpi seorang yang dapat melihat keadaan seksa di alam kubur, keadaan di Syurga dan Neraka.
(ii)   Mempamerkan bentuk makhluk halus, seumpama jin, secara jelas dan nyata.
3.4 Semua penerbitan yang memaparkan pemujaan-pemujaan kepada makhluk syaitan, atau kisah-kisah manusia boleh berhubungan terus dengan jin dan roh.
 (i)       Kisah-kisah bomoh menggunakan jin yang berkuasa melakukan sesuatu melebihi kuasa Allah, seumpama menyembuhkan segala penyakit atau mengetahui sesuatu barang yang hilang.         
(ii)       Kisah-kisah yang memaparkan tentang pengalaman yang berkaitan dengan penjelmaan semula roh orang yang telah mati (Istihdhar al-Arwah), penurunan roh (Istinzal al-Arwah) dan roh berkuasa menolong (Istikhdam al-Arwah).
3.5 Semua penerbitan yang memaparkan cerita-cerita bersumberkan daripada kepercayaan lama, kepercayaan kepada petanda, pantang larang dan adat istiadat yang bercanggah dengan ajaran Islam.
            (i)        Mengenai kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti tidak boleh melihat bayi di cermin muka kerana kononnya kelak ia akan mati di dalam air.
            (ii)       Mengenai kepercayaan bahawa tidak boleh keluar ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala.
3.6 Penerbitan yang memaparkan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut.
            (i)        Mengenai kepercayaan kepada cerita-cerita kononnya dengan memaku tengkok pontianak boleh menyebabkan pontianak tersebut menjelma semula menjadi manusia.
4.Senarai filem,drama atau sebarang audio visual yang mengandungi unsur-unsur keramat,khurafat,tahyul,kebudayaan karut atau ghaibiyat
Filem
1.Jangan pandang belakang
2.Rasukan ablasa
3.Histeria
4.Sayaitan
5.Maut
6.Akhirat
7.Zombi Kampung Pisang
8.Congkak
9.Pontianak harum sundal malam
10.Warisan

Drama
1.Puaka Niyang Rapik
2.Anak Betong
3.Bilik 13
4.Seram
5.Susuk
6.Kliwon
7.Kekasihku seru
5.Kesan-kesan filem berunsur tahyul kepada akidah masyarakat:
Firman Allah Taala;
يا بني آدم لا يفتننكم الشيطانكما أخرج أبويكم من الجنة ينزع عنهما لباسهما ليريهما سوآتهما إنه يراكم هو وقبيله من حيث لا ترونهم إنا جعلنا الشياطين أولياء للذين لا يؤمنون
“Wahai anak adam! Janganlah engkau diperdaya oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibubapamu dari syurga,sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian merka berdua untuk memperlihatkan aurat merka kepada mereka (yang sebelum itu tertutup) Sesungguhnya  syaitan dan  kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang yang tidak beriman”

Perkara yang membawa terpesong akidah
1.Terdapat satu babak dalam filem “Maut” yang memberi gambaran tentang kehidupan selepas kematian dan siksaan2 yang akan berlaku.Ia dikhuatiri boleh memesongkan akidah kerana penonton akan menganggap siksaan yang berlaku adalah benar-benar seperti yang digambarkan.

2.Bentuk sihir yang ditayangkan seperti pemujaan benda ghaib atau bacaan yang tidak difahami merupakan adaptasi perlakuan syirik oleh penonton.Malah, penonton juga sedikit-sebanyak turut meniru perlakuan tersebut.

3.Ramai masyarakat Malaysia yang tidak memahami dan mengamalkan konsep tauhid yang sebenar.Media pula seringkali mempertontonkan kepada masyarakat bahawa makhluk-makhluk ini mempunyai kuasa luar biasa yang tiada tolok bandingnya seolah-olah menidakkan kuasa yang Maha Besar; Allah Taala. Masyarakat terpimpin untuk pergi menemui kahin(dukun) apabila ditimpa satu musibah rentetan daripada kebolehan luar biasa jin ini.Ini menyebabkan masyarakat lebih menakuti makhluk ini berbanding takutkan Allah Taala.
Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu. Dari Nabi Sallahu alaihi wasallam bersabda “Barangsiapa yang mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang ia katakana,sesungguhnya ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad sallahu ‘alaihi wasallam” (HR Abu Daud)


Kesan-kesan lain:

1.      Memperbodohkan masyarakat
Islam tidak menerima apa jua perkara yang boleh memperbodohkan masyarakat termasuk termasuk memvisualkan jin dan syaitan dalam bentuk drama atau filem. Momokan mitos yang disiarkan tidak menyumbang kepada pembentukan insan.Bahkan drama dan filem seram yang keterlaluan amat merbahaya kerana ia boleh menyumbang kepada penyelewengan akidah .

Peter Gay menulis dalam sebuah buku beliau yang bertajuk “ The Cultivation of Hatred “ menyatakan bahawa dalam sesebuah komuniti lapisan sosial dan pada setiap abad manusia akan mencipta satu budaya baru. Sekiranya mengambil kata-kata Peter Gay, dapat kita lihat bahawa semacam satu budaya tidak sihat di Malaysia apabila kita ingin mencapai negara maju wujud golongan-golongan yang menanam dan mempopularkan kembali elemen-elemen tahyul dan mistik.

Ini akan memberi satu signifikan yang besar kepada pemikiran masyarakat kita. Maka pemikiran tahyul akan kembali mengambil tempat dalam minda masyarakat. Natijahnya umat Islam akan terpesong daripada akidahnya dan negara kita tidak mampu untuk menjadi negara yang maju. Justeru, adakah kita kita ingin kembali kepada zaman dimana pemikiran tahyul begitu kuat dalam masyarakat kita pada satu ketika dahulu ataupun kita ingin melihat masyarakat kita mempunyai pemikiran minda kelas pertama yang sering dislogankkan oleh kerajaan?

2.      Cerita tahyul dijadikan hiburan semata-mata

Cerita-cerita tahyul tidak memberi faedah kepada masyarakat kerana elemen rekaan yang disampaikan terlalu sarat berbanding moral yang hendak disampaikan.Masyarakat juga memandang ringan perkara yang boleh membawa kepada syirik.Ini menyebabkan manusia mengambil ringan permasalahan akidah dan hidup hanya untuk bersuka ria.

3.      Pengaruh kepada kanak-kanak

Kanak2 belajar daripada pemerhatian.Televisyen merupakan pengaruh terbesar kepada kanak-kanak yang memberi kesan dari aspek tingkahlaku yang ditonjolkan,pemahaman dan percakapan.Ia menyebabkan kanak2 terikut2 dengan perkara tahyul ini dan memberi kesan kepada mereka di masa akan datang.

4.      Mengeksploitasi media sebagai sumber ilmu yang salah

Rakyat Malaysia mudah terpengaruh,mengikut dan mengambil jalan pintas dan menggunakan medium yang salah untuk mencapai kemewahan.Dengan filem dan drama sebegini mengajar masyarakat menggunakan ilmu sihir untuk tujuan tertentu contoh santau,ilmu hitam,bomoh dan berunsur khurafat berpunca dari hasad dengki atau untuk kepentingan diri sendiri.


5.      Masa yang dipertontonkan tidak sesuai

Jumaat merupakan penghulu segala hari bagi umat islam.Malam yang penuh barakah ini tampak ‘mesra’ di kalangan umat Islam khususnya sebagai malam yang seram lagi menakutrkant Syarikat-syarikat produksi filem yang mengeluarkan lambakan cerita-cerita ‘hantu’ dan seram kepada syarikat televisyen perdana  menyumbang kepada budaya negatif seperti meminta izin ketika melalui pokok besar dan sebagainya..Menambahkan lagi perisa dan rencah kepada ‘penghayatan’ cerita ini, sudah tentu slotnya ditayangkan pada malam Jumaat, malam yang kononnya amat ‘misteri’ bagi penggemar-penggemar alam mistik. Amat malang sekali apabila malam yang sepatutnya diisi dengan fadilat kebesaran hari Jumaat, siri-siri diskusi ilmiah dan slot-slot tazkirah diganti dengan pengisian mitos dan melalaikan.


Berdasarkan penerangan yang serba ringkas ini,dapatlah disimpulkan bahawa tindakan media mempopularisasikan alam mistik telah melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh syarak secara khususnya dan menyalahi undang-undang penyiaran secara amnya.Perkara ini jelas memberi kesan negatif kepada masyarakat.Masyarakat muslim yang sepatutnya dididik dengan mengagungkan keesaan Allah akan bercabang pemusatan akidah tanpa sedar.Oleh yang demikian,pihak berkuasa seharusnya memandang serius kesalahan ini dan mengambil tindakan secara drastik.