Sunday, 27 July 2014

Nikmat bersyukur

SYUKUR  MENGIKAT NIKMAT BARANGSIAPA TIDAK MENSYUKURI NIKMAT BERMAKNA MEMBUKA JALAN UNTUK KEHILANGAN NIKMAT ITU. DAN BARANGSIAPA BERSYUKUR MAKA SESUNGGUHNYA DIA MENGADAKAN PENGIKAT BAGI NIKMAT YANG DIPEROLEHINYA.

Biasanya kita takrifkan nikmat sebagai harta benda atau sesuatu yang menyenangkan. Kejadian dan keadaan yang selesa juga dianggap sebagai nikmat. Harta yang banyak adalah nikmat.
Tubuh badan yang sihat adalah nikmat.
Rupa yang cantik adalah nikmat.
Suara yang merdu adalah nikmat.
Betulkah semua itu nikmat? Jika harta menjadi nikmat tentu sahaja orang yang mempunyai harta yang banyak akan lebih tenteram jiwanya. Jika kesihatan adalah nikmat tentu orang yang sihat tubuh badannya akan berasa bahagia. Jika wajah yang cantik dan suara yang merdu adalah nikmat tentu mereka yang memilikinya mendapat kepuasan. Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Orang yang berharta masih juga berasa miskin hingga mereka berasa perlu melakukan rasuah.             Orang yang memiliki tubuh badan yang sihat masih tidak senang dengan tubuh badannya. Orang yang memiliki wajah yang cantik dan suara yang merdu masih tidak berasa senang dengan kecantikan wajah dan kemerduan suara yang dimiliki oleh orang lain. Anehnya pula orang yang tidak berharta, tubuh sering dihinggapi penyakit, wajah tidak cantik dan suara tidak merdu, boleh hidup dengan aman, bahagia dan tenteram. Golongan yang memiliki segala-galanya tidak merasakan kenikmatan sedangkan golongan yang tidak memiliki apa-apa pula yang merasakan kenikmatan hidup ini.
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah nikmat?  Jika kita mahu memahami maksud nikmat, kita perlu memahami perjalanan hukum sebab musabab yang sampai kepada kita. Kita melihat beberapa orang menerima benda yang serupa dan menghadapi keadaan yang serupa tetapi keadaan jiwa mereka tidak serupa. Ada orang yang terus menerus merungut walau sebanyak mana harta yang diterimanya.
Ada orang yang terus menerus berkeluh-kesah walaupun keadaan yang menguntungkan mendatanginya. Ada pula orang yang sentiasa tenteram walaupun tidak didatangi harta. Namun, dia tetap tenteram walaupun didatangi keadaan cemas atau kesusahan. Jika kita renungkan dengan mendalam kita dapat merasakan bahawa apa yang mendatangi kita adalah alat, sementara sesuatu yang datang bersama-sama alat itulah yang menimbulkan nikmat ataupun sebaliknya.

No comments:

Post a Comment